Pages

Serasi Berduet

December 3, 2009

Album terbaru Dayang Nurfaizah turut muatkan nyanyian bersama Marcell
Oleh Freda Hassan
MESKIPUN sibuk memenuhi tanggungjawab sosialnya dalam pelbagai bidang kemasyarakatan, penyanyi Dayang Nurfaizah masih tetap dapat meluangkan masa untuk menyiapkan album solo terbarunya yang kelapan.
Dan yang menarik, kali ini albumnya memuatkan nyanyian duetnya bersama penyanyi terkenal Indonesia, Marcell.
Dayang merupakan selebriti bagi projek Reben Merah Yayasan Aids Malaysia, duta Malaysia bagi program perlindungan dan pemuliharaan alam semula jadi, serta ketua Biro Muda Karyawan Malaysia.
Albumnya itu diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu DN & AD Entertainment Sdn Bhd.
Dayang, yang mengagumi penyanyi Beyonce, bertindak sebagai penerbit eksekutif bersama pengurus peribadinya, Shaliza, untuk album terbarunya itu.
Konsep R&B yang telah sebati dengan jiwanya dikekalkan dalam albumnya kali ini.
Lagu duet yang dirakamkan Dayang, atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, bersama Marcell adalah sebuah lagu mid tempo berjudul Sayang.
Lagu ciptaan komposer Malaysia, Omar K, dengan lirik nukilan Nuur Iman itu dirakamkan September lalu di Kuala Lumpur.
Menurut Dayang, apabila beliau mula mendengar lagu duet tersebut, beliau hanya dapat mendengar suara Marcell menyanyikannya.
'Suaranya memang cukup sesuai dengan konsep lagu itu. Dayang sudah beberapa kali berduet dengan Marcell untuk persembahan dan sudah lama menyimpan hasrat untuk berduet dengannya untuk album Dayang kerana amat kagum dengan suara dan bakatnya.
'Alhamdulillah, impian Dayang tercapai,' ujarnya gembira.
Menurut Dayang lagi, Marcell juga sudah lama ingin berduet dengannya.
'Tetapi kami tidak berpeluang dan tidak pernah mendapat lagu yang sesuai sebelum ini,' jelasnya.
Dayang mengakui seronok sekali bekerjasama dengan Marcell.
'Marcell suka berjenaka dalam studio. Proses rakaman dengan Marcell merupakan pengalaman yang manis bagi Dayang kerana rakaman duet ini telah mewarnai sedekad Dayang berada dalam industri muzik,' akui Dayang lagi.
Baginya, Marcell adalah seorang penyanyi yang cukup berbakat dan hebat dalam semua aspek, termasuk pengetahuan tentang ilmu muzik, cara menyanyi dan juga apabila membuat persembahan di pentas.
'Dayang sendiri adalah seorang peminat Marcell. Selain itu, Marcell juga merupakan seorang yang senang untuk bekerjasama dan profesional semasa bekerja dan mempunyai personaliti yang cukup senang didekati,' katanya.
Single kedua dalam album terbaru Dayang pula dicipta oleh penyanyi dan komposer Yasin berjudul Kutemu Cahaya.
Dayang memilih memuatkan lagu-lagu ciptaan komposer dari Malaysia sahaja pada kali ini terutama mereka yang beliau belum pernah bekerjasama sebelum ini.
Langkahnya menerbitkan sebuah album penuh ketika ini adalah satu usaha yang berani kerana pasaran album di Malaysia kini agak lembap.
'Dayang merakamkan album ini untuk berkongsi dengan peminat idea-idea baru dan konsep muzik terbaru daripada Dayang dan untuk kepuasan diri sendiri dengan sentiasa mementingkan kualiti lagu dan album.
'Album juga merupakan produk seorang penyanyi untuk mempromosi pasaran tempatan dan juga antarabangsa. Jika semua penyanyi takut untuk menerbitkan album hanya kerana keadaan pasaran, lebih parah dan teruk keadaan industri muzik kita,' katanya.

No comments:

Your Thoughts...

Dayang's Followers